budak nak muntah ape yer dalam benda nie...???

Friday 26 July 2013

Bedah Buku : Tuan Direktor karya HAMKA


Terjumpa buku ini saat ketika musafir ke Kuala Besut sempena dengan Pilihan Raya Kecil Dun Kuala Besut. 

Sebuah Novel Ringkas, seputar krisis harta dan teman sejati. Dimulakan dengan Sebuah Hadis riwayat At-Tirmizi yang berbunyi :

“ Sesungguhnya tiap umatku ditimpa oleh cubaan. Dan cubaan bagi umatku ialah harta “

Hadis ini, seakan-akan menjadi tema kepada novel yang dibawa oleh Pak HAMKA dalam Tuan Direktor. Secara ringkasnya, keghairahan dan kejaran harta tidak terhenti pada banyaknya harta, bahkan mengasak kepada nilai material yang lain, antara quote yang menarik

“setelah mendapat kekayaan sebagai seorang manusia, ia belum merasa cukup kepada yang ada. Sesudah beroleh kekayaan ia hendak kehormatan, sesudah beroleh kehormatan ia ingin kemuliaan, sesudah ia beroleh kemuliaan, ia hendak meminta tambah lagi,lagi... dan kalau masih ada yang sesudah itu, hendak dicubanya juga dan belum hendak berhenti”

Bila kita tamak mengejar wang, kerapkali kita akan kehilangan yang lain. Kalau dalam isu Kuala Besut, rakyat Kuala Besut kehilangan untuk mengukir sejarah Demokrasi Dunia dengan tinta emas 16:16, huhu, Dalam kisah ini, Tuan Direktor kehilangan nilai manusiawi [humanity], belas kasihan dan paling besar hilang teman dan sahabat yang jujur.

Ramai manusia yang sanggup menyingkirkan teman rapat, teman seperjuangan semata-mata kerana gila pada harta, begitu yang terjadi kepada Haji Nawawi, Fauzi dan Mas Karto, disingkirkan oleh Jazuli [Tuan Direktor] kerana ghairah dan sesat dalam kegelapan harta. Dikejar kekayaan harta, akhirnya miskin teman dan rakan taulan. Yang tinggal hanya si penjilat dan si pembodek yang mahukan rokok 2 3 batang.

Pada asalnya perusahaan yang bermula dengan prinsip teman dengan teman, akhirnya berubah menjadi Kapitalis [Borjuis] dengan Kaum Buruh [Proletariat]. Mabuk dalam mengejar kemegahan harta dan pengaruh pembodek sejati, akhirnya takabur dan tamak menguasai Tuan Direktor, sekaligus menjadi kapitalis yang menindas kaum pekerja.

Kaum buruh diperHAMBAkan oleh kaum borjuis, terus dikongkong dengan penuh kebesaran diri, hingga hilang erti manusiawi hatta belas kasihan lari dan kebebasan digari, itulah yang dirasai oleh Fauzi yang akhirnya menikmati KEBEBASAN HAKIKI setelah disingkirkan dari sang kapitalis Tuan Direktor.

Pak Yassin terus disogok oleh orang tengah Tuan Direktor, untuk menjual tanahnya tidak tergoyah walau seinci, ia hadir dengan penuh sikap humanity dan sosialis dalam rangkuman Islam, mengajar Fauzi dan teman-teman kecil kamar sewa di halaman rumahnya akan erti kekayaan yang sebenar. Iaitu kekayaan jiwa. Kayanya jiwa Fauzi memungkinkan terdirinya Bibliotheek dan Leesgezelschap [taman pembacaan] di halaman rumah Pak Yassin.

Antara rumusan dari untaian wasiat Pak Yassin,.. perkayakan dulu jiwa sebelum kayakan harta, kerna walaupun tidak berwang jiwa sudah kaya, hati tetap tenang, berbanding kaya harta tapi miskin jiwa,tidak kunjung tiba ketenangan kecuali yang singgah ialah keserabutan dan kegelisahan.

Tuan Direktor yang sudah lemah jiwanya semakin PERASAN akan ada ramai musuh yang dengki dengannya. Kuasa perasan yang berlandaskan nafsu kapitalis membenarkan fitnah direncanakan kepada Pak Yassin. Apa Fitnah itu??? Baca sendiri,J namun, Tuan Direktor umpama menggali lubang untuk ditimbus dirinya.

Hasil biasan Fitnah tersebut, maka ter”bogel”lah Tuan Direktor keseluruh rakyat akan kebusukan hatinya. Dan dijulang pula Pak Yassin selayak Bapak Kaum Buruh dan Murabbi Rakyat Marhean.

Diakhiri, dengan Tuan Direktor semakin kegelisahan dan kehilangan teman manakala Fauzi dan Haji Nawawi bersama-sama dalam Firma Nawawi_Fauzi & Co, membina nafas baru dalam perindustrian batik, setelah disingkirkan oleh Tuan Direktor. Kerjasama Haji Nawawi dan Fauzi berlaku luar dari tabiat kapitalis, apa bila Haji Nawawi mengungkapkan,

“ pada saya tidak ada nama lawan berniaga [konkurensi], memang kita disuruh berusaha sekadar tenaga kita masing-masing. Tetapi memandang bahawa orang lain sebagai lawan dan musuh tidak ada pada saya. Sebab rezeki kita telah dibahagi lebih dahulu...”

Sebagai akhirnya, ambillah semburan akhir dari Pak HAMKA,
“KEKAYAAN WANG TETAPI MISKIN DI DALAM SAHABAT HANDAI ADALAH KEMISKINAN SEJATI”

Sekian
6.31 pm
26 Julai 2013
[Sebenarnya dalam nie juga diperlihatkan sinergi antara panduan Kaum Tua [Pak Yassin dan Haji Nawawi] yang penuh pengalaman hidup bersama dengan semangat Kaum Muda [Fauzi] yang penuh dengan kemahuan... mungkin lain kali nak conteng sal isu ini J]

No comments:

Post a Comment